Saturday 28 July 2018

DURIAN MUSANG KING


Durian Musang King atau nama asalnya Raja Kunyit, mempunyai isi berwarna kuning pekat, duri bersegi manakala pangkal tangkai tidak berduri dan garisan pangsa jelas pada kulit.

Penolong Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Serdang Mohd Auzaie Komarudin berkata, ini antara ciri utama durian D197 yang didaftarkan di Jabatan Pertanian pada 1993.

Beliau berkata, masyarakat Cina tempatan gemar menggelarkan raja buah itu sebagai Mao Shan Wang, yang bermaksud raja kucing gunung iaitu merujuk kepada bentuk isi durian mirip posisi kucing tidur.

"Panggilan itu terus digunakan secara meluas sehingga perkataan Mao Shan ditukar kepada sebutan Musang dan Wang ditukar kepada King yang dikenali sebagai Musang King hingga kini," katanya mengenai durian itu yang banyak di sekitar Raub, Pahang.

Beliau berkata, untuk itu, pembeli perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli durian Musang King supaya tidak ditipu penjual.

"Musang King yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan lebih lonjong seperti bola ragbi berbanding baka lain berbentuk bulat, selain mempunyai corak seakan bintang pada bawah buah," katanya.

Mohd Auzaie berkata, isi durian Musang King lebih tebal ditambah rasa lemak yang sedikit pahit dan bijinya pula kecil berbanding baka lain.

"Musang King cukup diminati penggemar durian hingga dijual mahal bermula RM50 sekilogram di pasaran atau 30 hingga 40 peratus lebih mahal daripada durian biasa. Malah sesetengah peniaga cuba mengaut keuntungan mudah dengan mendakwa menjual Musang King, walhal ia baka lain," katanya.

Beliau berkata, baka anak pokok Musang King pula pokok duriannya memiliki daun nipis tirus dan sedikit beralun.

"Anak pokok ini sesuai ditanam di tanah terbuka apabila mempunyai lapan daun dan kebiasaannya hasil tanaman boleh mula dinikmati seawal lima tahun selepas ditanam," katanya.


Nota kaki..

Anak pokok: Durian Musang King
Tinggi: 4kaki 6inci
Usia: 1 tahun(anggaran)
Jangkaan berbuah: 3-5 tahun
Kod harga: RMIAJ
Pasaran semasa: RM250
Pembekal: P1 Pasar Tani Pekan
Tarikh: 28hb Julai 2018



No comments:

Post a Comment